Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenalpasti 25 'hotspot' banjir kilat di kawasan seliaannya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, kawasan itu dikesan hasil pemantauan terperinci dijalankan pihaknya.

"Lokasi hotspot itu terletak di Jalan Antoi, Kepong; Jalan Pintasan Segambut; Jalan Sultan Azlan Shah (hadapan Balai Polis Batu 3); Jalan Rahmat di Jalan Sultan Azlan Shah; Lebuhraya Sultan Iskandar (hadapan bangunan Parlimen); Lebuhraya Sultan Iskandar; Jalan Sultan Haji Ahmad Shah (Jalan Khidmat Usaha); Jalan Kuching (sebelum Bulatan Segambut); Jalan Segambut (hadapan sekolah memandu); dan Bulatan Dato Onn di Jalan Parlimen serta sekitarnya.

"Kawasan lain adalah hadapan gereja di Dataran Merdeka; Lebuh Ampang dan sekitar; Jalan Brunei dan Jalan Pudu; Jalan Changkat Tambi Dollah; Jalan Tun Sambanthan Brickfields; Jalan Travers (hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields); Jalan Pantai Baharu (hadapan pagar Universiti Malaya (UM); Jalan Maarof Off Jalan Bangsar dan Jalan Maharajalela.

"Turut dikenal pasti menjadi hotspot banjir kilat adalah Jalan Semantan dan Jalan Bruas di Bukit Damansara; Kampung Pasir; Kampung Periuk; Kampung Kasipillay dan hadapan Balai Polis Salak Selatan di Bandar Tasik Selatan," katanya pada sidang media di Menara DBKL 1 dekat Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Mahadi berkata, selain pemantauan kawasan hotspot, DBKL turut merangka 14 inisiatif interim dinamakan Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022.

Katanya, pelan tindakan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta dan ia adalah usaha DBKL dalam mengelak berlakunya banjir kilat ketika hujan lebat seperti kejadian pada 25 April lalu dan sebelumnya.

"Pelaksanaan pelan tindakan ini adalah berpandukan kepada ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Antara langkah diambil adalah memastikan saluran keluar air larian ke longkang tepi jalan tidak tersumbat atau terhalang; menaik taraf semua longkang 'scupper'; menempatkan jentera dan petugas DBKL yang mencukupi di lokasi strategik; menempatkan 100 warden trafik; mengenal pasti laluan lencongan sementara; membina sump baru dan meletakkan guni pasir bermula 6 Mei lalu di kawasan rendah dekat tepi sungai sebelum tembok banjir dibina.

"Selain itu, DBKL turut melaksanakan kerja mengeluarkan kelodak di kolam takungan banjir Lorong Maarof, Jalan Travers dan UM, memastikan tangki On Site Detention (OSD) milik persendirian berfungsi dengan sempurna dan diselenggara baik, memastikan sungai, longkang monsun dan saluran air tidak dihalang sampah, akar pokok serta tumbuhan liar, menggunakan lebih banyak bahan meresap air iaitu Stone Mastic Asphalt untuk permukaan dan turapan jalan; menjadikan aktiviti pungut (plogging) sebagai rutin; mengisytiharkan lebih banyak kawasan Zon Bebas Sampah dan mengeluarkan mesej amaran banjir kilat," katanya.

Katanya,pelan tindakan itu dilaksanakan bermula bulan ini dan pihaknya mahu melihat perkembangannya dalam tempoh tiga bulan iaitu sehingga Julai nanti.

"Pada masa sama, DBKL sedang menjalankan kajian jangka panjang secara berperingkat untuk tempoh setahun dengan melantik perunding dan berharap dapat melihat hasilnya akhir tahun ini.

"Saya menyeru warga kota memberi kerjasama bagi membantu DBKL menjayakan pelan tindakan dirancang dengan sebaiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 2:42 PM
Mahadi (tengah) menunjukkan pelan tindakan ketika sidang media Pelan Tindakan Kawalan Banjir Kilat di Menara DBKL, Kuala Lumpur.FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Mahadi (tengah) menunjukkan pelan tindakan ketika sidang media Pelan Tindakan Kawalan Banjir Kilat di Menara DBKL, Kuala Lumpur.FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM