BERNAMA

Kuala Lumpur: Terowong Lebuhraya Smart mencatatkan rekod tersendiri apabila diaktifkan selama kira-kira 22 jam bagi melencongkan air Sungai Klang yang naik susulan hujan lebat yang berterusan pada Sabtu.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata dalam tempoh berkenaan, Terowong Smart yang dibina dengan kos melebihi RM1 bilion itu melencongkan lima juta meter padu air sejak diaktifkan pada 1.32 tengah hari 18 Disember sehingga 12 tengah hari 19 Disember.

Beliau berkata ia merupakan rekod baharu untuk kawalan lencongan Terowong Smart kerana sejak 2007, sebanyak lapan kali lencongan dibuat dan di setiap operasi hanya rekodkan kira-kira tiga jam operasi.

"Namun untuk lencongan kali kesembilan ini, sejak Sabtu sehingga tengah hari Ahad, operasi ini diadakan selama kira-kira 22 jam kerana intensiti hujan yang sangat tinggi di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor," katanya.

Zaini berkata berdasarkan perkiraan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jika lima juta meter padu air tidak dialirkan keluar, kawasan di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur seperti di kawasan Masjid Jamek akan mengalami banjir besar.

"Selain Terowong Smart, aset-aset JPS di sekitar Kuala Lumpur seperti rumah pam juga dioperasikan secara maksimum sejak Sabtu. Oleh itu, walaupun hujan lebat dan Empangan Batu melepaskan air dengan bukaan 300 milimeter atau 20 peratus pada pukul 11.15 pagi Sabtu, hanya berlaku banjir-banjir kecil sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Mengulas mengenai penglibatan aset, Zaini berkata aset-aset JPS di sekitar ibu negara juga dioperasikan secara maksimum.

Sementara itu, Smart (Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd) dalam satu kenyataannya memberitahu lima juta meter padu air sudah berjaya dilencongkan dari Sungai Klang dan Sungai Ampang ke Kolam Takungan Taman Desa.

"Proses pengepaman keluar air ke hilir sungai masih belum dapat dijalankan kerana keadaan paras air sungai yang masih tinggi di bahagian hilir sistem Smart.

"Pihak Smart memohon pengguna agar bersabar serta memberi kerjasama dan perhatian mengenai pengumuman status operasi Terowong Lebuhraya Smart yang akan disiarkan melalui penghebahan media dan papan maklumat elektronik (VMS)," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 8:00 AM