ANTARA rumah di Taman Desa Wira, Kuching yang dilanda banjir kilat malam ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
ANTARA rumah di Taman Desa Wira, Kuching yang dilanda banjir kilat malam ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua stesen paras air di Sarawak melepasi paras bahaya malam ini susulan hujan lebat sejak jam 6 petang tadi.

Berdasarkan maklumat di laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Public Infobanjir, notifikasi aras air di Stesen Mupus, Bintulu mencecah 8.8 meter (m) iaitu 0.3m melepasi paras bahaya, 8.5m.

Satu lagi stesen yang mencatat paras bahaya ialah Stesen Desa Wira di Kuching yang berada pada paras 3.8m iaitu 0.3m melepasi paras bahaya 3.5m.

Tiga lagi stesen berada pada paras waspada manakala sembilan stesen mencatat bacaan pada tahap amaran.

Sementara itu, tinjauan di Taman Desa Wira, pada jam 9.30 malam mendapati kira-kira 20 rumah terjejas selepas air mula memasuki kediaman penduduk.

Bagaimanapun, sehingga jam 10 malam, belum ada pemindahan penduduk dilakukan.

Ia berikutan hujan mulai reda manakala paras air pula didapati bertahan.

Awal pagi hari ini beberapa kawasan rendah di Sarawak turut dilanda banjir kilat sehingga dua pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di daerah Bau.

Bagaimanapun, banjir surut di kebanyakan kawasan pada jam 7 pagi dan cuaca pula panas sepanjang hari ini sehinggalah jam 6 petang, apabila hujan lebat kembali melanda sehingga menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 11:32 PM