FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Penstrukturan semula akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berkuatkuasa 11 Mei lalu, mendapat sambutan menggalakkan dari pencarum untuk pelbagai kegunaan terutama kecemasan.

Bukan itu saja, inisiatif mengeluarkan simpanan menerusi Akaun Fleksibel (akaun ketiga) disifatkan sebagai keprihatinan KWSP terhadap keadaan semasa pencarum yang sedang bergelut dengan ekonomi yang mencabar.

Pengusaha Abang Sambal Hejau, Daril Amin, 34, berkata masalah kewangan yang dilalui setiap pencarum tidak sama.

Menurutnya, sebagai peniaga, sumber pendapatannya tidak menentu berbanding mereka yang makan gaji.

"Jadi, inisiatif ini, benar-benar memberi kelegaan. Dalam masa yang sama, caruman untuk hari tua masih ada," katanya.

Daril berkata wang pengeluaran menerusi Akaun Fleksibel akan dimanfaatkan sebaiknya sebagai wang kecemasan untuk keluarga dan perniagaan.

Katanya, dengan kos sara hidup yang tinggi dan keadaan ekonomi yang sukar ini, dia memerlukan kewangan lebih kerana itu dia membuat pengeluaran.

"Sebenarnya semua itu atas diri sendiri dan andai tidak punya keperluan, jangan keluarkan semua. Keluarkan bila perlu saja.

"Saya sendiri akan memanfaatkan setiap pengeluaran dari KWSP ini bagi kegunaan dua hingga tiga minggu untuk kegunaan perniagaan dan akan membuat pengeluaran lagi apabila memerlukan.

"Apa-apa pun, pencarum perlu pandai mengawal nafsu dan perbelanjaan," katanya.

Bagi pemilik Raqinah's Kitchen, Raqinah Rahiman, 34, bersyukur kerana wang yang diperoleh dari pengeluaran menerusi Akaun Fleksibel boleh digunakan untuk mengembangkan perniagaan pastri yang diusahakan.

"Saya sangat menyambut baik inisiatif pengeluaran Akaun Fleksibel ini kerana ia membolehkan ahli mengeluarkan wang simpanan mereka untuk kegunaan masing-masing.

"Dengan wang yang diperoleh ini, saya akan gunakan untuk mengembangkan perniagaan dan digunakan untuk membeli barang mentah dan peralatan seperti mesin pastri," katanya.

Eksekutif di syarikat swasta, Nur Atiqah, 34, berkata dia bersyukur kerana wang yang sudah diperoleh menerusi pengeluaran Akaun Fleksibel boleh digunakan untuk kecemasan.

Katanya, walaupun mempunyai pendapatan dari makan gaji atau berniaga sendiri, tidak semua orang mempunyai simpanan sebagai wang kecemasan.

"Jadi, dengan Akaun Fleksibel ini, ia membolehkan pencarum mengeluarkan simpanan dengan mudah untuk keperluan kewangan semasa," katanya.

Bagi, Nurul Fadhilah Jamian, 41, dia sangat mengalu-alukan inisiatif Akaun Fleksibel ini dan telah membuat permohonan pengeluaran simpanan untuk dijadikan sebagai wang kecemasan dan keperluan mendesak.

"Seperti yang kita tahu, walaupun wang KWSP boleh dikeluarkan menerusi Akaun Sejahtera tetapi hanya untuk jenis pengeluaran tertentu saja.

"Jadi, dengan adanya Akaun Fleksibel ini, ia membolehkan ahli membuat pengeluaran pada bila-bila masa apabila memerlukan.

"Inisiatif ini juga adalah bukti KWSP komited dalam membantu ahli namun masih mengekalkan disiplin pengeluaran agar tidak digunakan pada perkara yang tidak sepatutnya," katanya.

Sementara itu, Abdul Maleek Abdullah, 28, mengakui inisiatif Akaun Fleksibel ini memberi manfaat kepada pencarum, namun, mereka perlu disiplin jika mahu mengeluarkan simpanan.

Katanya yang mencarum sendiri, walaupun ahli boleh mengeluarkan wang bila-bila masa mereka perlu memanfaatkan pengeluaran untuk kegunaan kecemasan sahaja.

"Pencarum juga perlu disiplin dalam menguruskan kewangan supaya keperluan jangka panjang mereka tidak dikorbankan disebabkan keuntungan jangka pendek," katanya.

Penstrukturan semula yang dilaksanakan KWSP ini juga memberi kuasa kepada ahli untuk mengimbangi keperluan persaraan dengan keperluan kitaran hayat semasa.

"Walaupun potongan yang dilakukan setiap bulan dibahagikan kepada tiga akaun mengikut peratusan yang ditetapkan, namun, kepentingan jangka panjang ahli tidak terjejas.

"Penambahan caruman ke Akaun Persaraan dari 70 kepada 75 peratus juga adalah langkah terbaik untuk kesejahteraan hari tua nanti.

"Bukan itu saja, setiap tahun, ahli juga dapat dividen dari jumlah simpanan mereka dalam kesemua akaun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 7:03 AM