Nurul Hidayah Bahaudin


Klang: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memburu baki 60 pelarian etnik warga Rohingya yang masih lolos dari Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap dalam insiden rusuhan pada April lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya sedang melancarkan operasi di seluruh negara bagi mengesan 60 individu berkenaan.

"Operasi yang kita lakukan ini bukan sahaja di sini (Pasar Besar Meru), namun di seluruh negara. Kita mahu mengesan 60 baki warga Rohingya yang masih lolos.

"Kita mahu maklumkan kepada rakan mereka (etnik Rohingya) yang tinggal di sini (Malaysia) bahawa kita akan tetap mengesan mereka sehingga berjaya.

"Sesiapa sahaja yang melindungi mereka, kita akan tahan (individu berkenaan) kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan," katanya ketika ditemui dalam serbuan di Pasar Besar Meru, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengarah Imigresen Selangor Dr Muhammad Syahmi Jaafar dan Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin.

HAMZAH menyertai Operasi Penguatkuasaan Imigresen di Pasar Besar Meru, Klang. FOTO Asyraf Hamzah
HAMZAH menyertai Operasi Penguatkuasaan Imigresen di Pasar Besar Meru, Klang. FOTO Asyraf Hamzah

Hamzah berkata, dalam operasi itu, pihaknya memeriksa seramai 704 warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan India berusia antara satu tahun hingga 55 tahun.

"Daripada jumlah itu, 637 individu mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), manakala 51 lagi tidak mempunyai sebarang dokumen.

"Hasil pemeriksaan dilakukan juga kami mengesan beberapa individu warga Indonesia serta India yang tidak layak mempunyai kad dan surat dikeluarkan oleh UNHCR.

"Semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 [Akta A1644]," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 11:41 PM