GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Kad dokumen pengenalan diri bagi pelarian seharusnya dikeluarkan oleh agensi di dalam negara dan bukannya pertubuhan luar.

Itu pendirian Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kad identifikasi untuk pelarian yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, agensi di dalam negara ini berhak untuk mengeluarkan dokumen identifikasi berkenaan dan bukannya pertubuhan luar.

"Saya tidak berhasrat untuk menyalahkan pertubuhan itu (UNCHR) tetapi jika kita lihat semula berdasarkan data yang kita ada, sudah lebih 120,000 kad UNHCR dikeluarkan untuk pelarian di negara ini.

"Cuba kita fikir semula, ada kad identifikasi yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan lebih tinggi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Kita ada kad pengenalan yang dikeluarkan oleh JPN, jika seseorang itu berstatus penduduk tetap (PR) kadnya berbeza. Jika seseorang itu bekerja kita berikan permit atau kad pekerja," katanya pada sidang media berhubung Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, hari ini.

Hamzah berkata, semua pihak harus sedar tentang realiti ini dan tidak hanya melihat kepada satu aspek saja.

"Pelarian yang berada di negara ini sepatutnya berada untuk sementara waktu saja, namun apa yang kita lihat hari ini, mereka sudah menetap berpuluh-puluh tahun.

"Saya di KDN akan berbincang semula dengan UNHCR bersama-sama dengan Wisma Putra untuk memastikan isu ini selesai dan tidak berpanjangan.

"Pada masa sama, kita tidak akan menahan mana-mana individu yang menjadi pemegang kad UNHCR kerana kita adalah kerajaan yang tidak menzalimi sesiapa," katanya.

Ketika ditanya berhubung wujud dakwaan pihak UNHCR tidak diberikan akses untuk memasuki depoh tahanan Imigresen, Hamzah menyatakan bahawa tindakan itu tiada keperluan.

"Mereka ingin akses untuk masuk ke depoh tahanan ini pasal apa, kita tahu siapa yang kita tangkap.

"Pendatang yang ditangkap ini adalah mereka yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, ini jelas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 5:25 PM