HEUNG-MIN ledak dua gol buat Korea Selatan. -FOTO Reuters
HEUNG-MIN ledak dua gol buat Korea Selatan. -FOTO Reuters
AFP

Singapura: Pemain PSG Lee Kang-in dan Son Heung-min dari Tottenham masing-masing menjaringkan dua gol ketika Korea Selatan membelasah Singapura 7-0 untuk memastikan laluan ke pusingan akhir kelayakan Asia untuk Piala Dunia Fifa 2026.

Disaksikan oleh 49,097 penonton di Stadium Nasional Singapura, pelawat mendahului selepas sembilan minit selepas cubaan Heung-min berjaya ditepis Hassan Sunny tetapi Joo Min-kyu mendapat bola yang terlepas itu lalu menghantar ke Kang-in yang melakukan tendangan ke gol lawan.

Singapura bagaimanapun hampir menyamakan kedudukan dua kali namun tandukan Hami Syahin dan Ikhsan Fandi berjaya di tepis Jo Hyeon-woo.

Tetapi Korea melebarkan kedudukan pada minit ke-20 apabila hantaran lintang Kim Jin-su dari kiri ditanduk masuk oleh Min-kyu.

Singapura yang sebelum ini bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 dengan China dalam perlawanan terakhir mereka di tempat sendiri bagaimanapun gagal mengekang Korea Selatan yang kemudiannya menyumbat tiga lagi gol dalam masa empat minit selepas babak ke dua bersambung.

Heung-min menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-53 apabila dia menerima bola dan melepaskan rembatan rendah melepasi Hassan.

Kang-in kemudian memanfaatkan pertahanan lemah seminit kemudian untuk menambah gol keduanya sebelum Heung-min mencetak gol kelima Korea tidak lama kemudian.

Heung-min hampir mencipta hatrik namun berjaya ditepis Hassan.

"Apabila anda melihat keputusan hari ini, kebanyakan orang mungkin mengatakan bahawa pasukan Singapura teruk tapi sebenarnya tidak," kata Heung-min.

"Mereka berjuang sehabis baik tetapi kami lebih klinikal dan kami mengambil peluang yang terhidang."

Gol lewat perlawanan dari pemain gantian Bae Jun-ho dan Hwang Hee-chan memastikan kemenangan mutlak buat Korea Selatan yang mengesahkan tempat selaku juara Kumpulan C dengan berbaki satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 9:35 AM