ANTARA orang etnik Rohingya yang ditahan, semalam selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap. FOTO Bernama
ANTARA orang etnik Rohingya yang ditahan, semalam selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap. FOTO Bernama
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Orang ramai yang menjumpai tahanan etnik Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang diminta tidak memukul atau mencederakan mereka sebaliknya menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa.

Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah Yusof Ali berkata, pihaknya yakin tahanan yang melarikan diri daripada depot itu hanya mengikut rakan-rakan tanpa mempunyai hala tuju.

Dakwanya, berkemungkinan terdapat orang lama yang menjadi dalang utama merancang kejadian itu dan mengetahui selok belok keadaan di negara ini.

"Saya rasa malu dengan tindakan tahanan melarikan diri dari depot. Saya harap rakyat Malaysia tidak mencederakan tahanan yang mereka jumpa di luar sana.

"Mereka ini hanya mengikut rakan-rakan dan tak tahu apa-apa. Kebanyakan mereka ini tidak pernah belajar dan jahil mengenai undang-undang di negara ini.

"Sesiapa sahaja etnik Rohingya yang melanggar undang-undang di negara ini perlu dihukum, cuma ramai tahanan etnik kami tidak memahami undang-undang dan budaya di sini, saya selalu nasihatkan etnik kami supaya hormat dengan orang tempatan yang terdiri daripada pelbagai kaum," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Yusof dalam pada itu merayu agar satu perbincangan dapat diadakan membabitkan komuniti Rohingya bersama kerajaan dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Katanya, perbincangan itu penting bagi mengatasi isu etnik Rohingya di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 12:49 PM