Bot membawa ratusan pelarian Rohingya yang tersadai di Selat Melaka berhampiran wilayah Indonesia beberapa bulan lalu. - Foto Agensi (Fail)
Bot membawa ratusan pelarian Rohingya yang tersadai di Selat Melaka berhampiran wilayah Indonesia beberapa bulan lalu. - Foto Agensi (Fail)

Alor Setar: Sejak beberapa bulan lalu, ratusan pelarian etnik Rohingya di beberapa pusat tahanan di Aceh, Indonesia 'hilang' selepas diseludup keluar dari pusat tahanan oleh ejen sindiket pemerdagangan manusia untuk dibawa ke Malaysia.

Timbalan Pengerusi Rohingya Society Malaysia (RSM) Kedah, Yusof Ali, berkata ejen sindiket itu amat berani sehingga boleh beroperasi dari dalam pusat tahanan.

“Ejen sindiket terdiri daripada orang Rohingya sendiri yang akan membayar sejumlah wang kepada individu tertentu dalam kalangan pengawal pusat tahanan untuk memperoleh 'kebenaran' menyeludup keluar penghuni pusat tahanan itu.

"Mereka kemudian dibawa menaiki kereta Medan, sebelum dibawa ke lokasi tertentu untuk menaiki bot merentasi Selat Melaka ke Malaysia," katanya.

Menurut Yusof, beliau diberitahu penghuni pusat tahanan di Aceh, sesiapa yang mahu keluar dari pusat terbabit perlu membayar sehingga 8 juta rupiah kepada sekumpulan pengawal pusat.

Beliau mengetahui identiti individu terbabit tetapi enggan mendedahkannya kerana bimbangkan keselamatan dua anak saudaranya yang kini ditahan di pusat tahanan itu.

Katanya, sebaik berjaya diseludup keluar dari pusat tahanan itu, setiap Rohingya perlu membayar RM3,000 kepada ejen sindiket jika mahu dibawa menaiki bot ke Malaysia.

Yusof diberitahu sejak kebelakangan ini bilangan etnik Rohingya dan Bangladesh yang ditahan di tiga pusat tahanan di Aceh berkurangan berbanding ketika mereka mula tiba di utara wilayah itu beberapa bulan lalu.

Beliau memberi contoh pusat tahanan Kuala Langsa, Aceh yang pada mulanya menempatkan lebih 400 etnik Rohingya beberapa bulan lalu, berkurangan kepada hanya 120 orang ketika ini.

Baru-baru ini, jurucakap kerajaan daerah Aceh Utara, Amir Hamzah, berkata pemeriksaan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendapati bilangan di Kampung Blang Adoe berkurangan kepada 140 orang daripada 322 orang, dipercayai diseludup keluar oleh ejen pemerdagangan manusia.

Yusof berkata lebih 1,000 etnik Rohingya dan Bangladesh ditempatkan di beberapa pusat tahanan di Aceh, selepas kapal mereka tersadai di Selat Melaka beberapa bulan lalu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 9:01 PM