Nurul Hidayah Bahaudin


Klang: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memanggil wakil Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia bagi mengemukakan bukti kesalahan yang dilakukan pertubuhan berkenaan dalam mengeluarkan kad berkenaan kepada pelarian di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya mengesan kerjasama UNHCR dalam mengeluarkan kad serta surat menggunakan nama persatuan Rohingya kepada individu warga Indonesia dan India yang bukannya pelarian.

"Contoh dalam operasi ini, bagaimana seorang warga Indonesia boleh mendapat kad UNHCR sedangkan mereka bukan dari negara bergolak. Disebabkan itu, kita mahu beritahu kepada UNHCR bahawa ini adalah negara kita, jangan keluarkan kad dengan sewenang-wenangnya atas persetujuan Persatuan Rohingya.

"Ini menunjukkan mereka seolah-olah ada kerjasama kerana mana boleh satu persatuan yang tidak tertubuh dan tidak didaftarkan di Malaysia melakukan sesuatu dengan mengeluarkan satu surat mengatakan warga Indonesia ini patut diberikan perlindungan melalui UNHCR.

"Sudah nampak ada bukti kesalahan yang dilakukan pihak terbabit termasuk UNHCR," katanya ketika ditemui dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pasar Besar Meru, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengarah Imigresen Selangor Dr Muhammad Syahmi Jaafar dan Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin.

Hamzah bercakap ketika sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama Menteri Dalam Negeri di Pasar Besar Meru, Klang. FOTO ASYRAF HAMZAH
Hamzah bercakap ketika sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama Menteri Dalam Negeri di Pasar Besar Meru, Klang. FOTO ASYRAF HAMZAH

Dalam operasi itu, seramai 704 warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan India berusia antara setahun hingga 55 tahun diperiksa.

Katanya, daripada jumlah itu, 637 individu mempunyai kad UNHCR, manakala 51 lagi tidak mempunyai sebarang dokumen.

"Hasil pemeriksaan juga, kami mengesan beberapa individu warga Indonesia serta India yang tidak layak mempunyai kad dan surat yang dikeluarkan oleh UNHCR. Kita tidak menolak kemungkinan wujud sindiket dalam mengeluarkan kad UNHCR.

"Susulan itu, kita akan memanggil wakil UNHCR untuk menunjukkan bukti kesalahan yang dikesan ini termasuk menyertakan dokumen yang disalah guna dan diberikan kepada warga asing yang tidak layak," katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga akan terus memburu baki 60 pelarian etnik warga Rohingya yang masih lolos dari Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang, dalam insiden rusuhan pada April lalu.

Menurutnya, KDN sedang melancarkan operasi di seluruh negara bagi mengesan 60 individu berkenaan.

"Operasi yang kita lakukan ini bukan sahaja di sini (Pasar Besar Meru), namun di seluruh negara. Kita mahu mengesan 60 baki warga Rohingya yang masih lolos.

"Kita mahu maklumkan kepada rakan mereka (etnik Rohingya) yang tinggal di sini (Malaysia) bahawa kita akan tetap mengesan mereka sehingga berjaya.

"Sesiapa sahaja yang melindungi mereka, kita akan tahan (individu berkenaan) kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 3:23 PM