AMIRAH berani mengambil tindakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ketagihan pornografi.
AMIRAH berani mengambil tindakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ketagihan pornografi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MASYARAKAT agak tabu untuk menyentuh perkara berkaitan masalah ketagihan pornografi secara terbuka di media sosial terutama wanita.

Ini kerana ada menganggap perkara itu mengaibkan dan tidak manis dibincangkan secara umum meskipun untuk tujuan yang baik.

Namun, berbeza dengan Kaunselor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Amirah Hazwani Bakri, 30, yang berani mengambil tindakan berlawan arus untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu ketagihan pornografi di TikTok.

Dia mengambil langkah ke hadapan mengetengahkan isu berkenaan kerana tidak ramai wanita berani mengambil pendekatan itu.

Sedangkan realitinya ada wanita mengalami masalah ketagihan pornografi dan kemunculannya di media sosial boleh membantu mereka yang sedang bergelut dengan masalah itu menerusi khidmat kaunseling.

Amirah Hazwani berkata, masalah ketagihan pornografi agak serius bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Menurutnya, ini kerana aktiviti tidak bermoral itu banyak memberi kesan kepada hidup individu dan masyarakat.

"Kebelakangan ini, gejala sosial seperti rogol, liwat dan cabul semakin meningkat yang kebanyakannya berpunca daripada ketagihan pornografi.

"Saya tidak mahu masyarakat terus rosak dengan ketagihan ini dan mendorong saya mengambil langkah ke hadapan untuk menyebarkan kesedaran," katanya.

Katanya, ketagihan pornografi mempunyai kaitan dengan tindakan individu di luar kawalan termasuk jenayah. Ini terjadi apabila bahagian otak yang mengawal untuk membuat keputusan secara rasional sudah terjejas.

"Ini mendorong individu melakukan tindakan lebih ekstrim termasuk jenayah demi memenuhi kepuasan ketagihan pornografinya.

"Ini perkara yang membimbangkan kerana mengancam keselamatan orang lain dan sebab itu kesedaran mengenai ketagihan pornografi perlu dipertingkatkan," katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Profesional Kaunseling dari Universiti Malaya itu juga berkata, ketagihan pornografi adalah satu masalah mental tetapi tidak dikategorikan sebagai penyakit mental.

Jelasnya, bagaimanapun ia boleh membawa kepada penyakit mental yang lain seperti tekanan.

"Menonton pornografi akan menyebabkan otak mengeluarkan hormon dopamin yang berfungsi membuatkan rasa gembira, tetapi sekiranya pengeluarannya tidak terkawal boleh membawa kepada punca ketagihan.

"Tetapi apabila terlalu kerap menonton pornografi, maka terjadi toleransi kepada hormon dopamin yang membawa kepada kemurungan dan masalah kecelaruan emosi," katanya.

Amirah Hazwani berkata, dia turut menerima banyak komen lucah di video TikToknya dan itu satu bukti menunjukkan pornografi merosakkan pemikiran mereka yang ketagihan.

Wanita berasal dari Ipoh, Perak itu berkata, setiap tahun dia membantu sekurang-kurangya 300 klien mengalami masalah mental dan 20 peratus daripada jumlah itu adalah mereka yang mempunyai ketagihan pornografi.

Ditanya mengenai rawatan katanya, daripada segi kaunseling adalah menerusi terapi perilaku kognitif.

Pelanggan akan dibantu bukan sahaja meninggalkan perbuatan itu tetapi juga pemikirannya.

"Ini kerana pemikiran itu boleh membuatkan mereka kembali ke tabiat buruk berkenaan.

"Sekiranya pelanggan boleh menjalani rawatan secara konsisten, Insya-Allah mereka boleh pulih sepenuhnya," katanya.

Katanya lagi, ramai tidak mengetahui bahawa punca ketagihan pornografi bukan disebabkan kesunyian sahaja tetapi juga kerana kurang perhatian ibu bapa dan pengaruh rakan di sekolah.

"Ada juga faktor pengantunan ('grooming') daripada rakan sekolah yang lebih senior.

"Saya kongsikan satu kes seorang klien ketagihan pornografi untuk dijadikan pengajaran kepada masyarakat.

"Klien ini secara tidak sengaja terdedah kepada pengalaman seksual yang mana dia terlihat ibu bapa mengadakan hubungan seks sejak kecil.

"Ini kerana klien itu tidur bersama ibu bapa hingga sekolah menengah," katanya.

Jelasnya, kejadian itu memberikan trauma kepada remaja perempuan berkenaan.

"Agak menyedihkan kerana pengalaman ini membangunkan orientasi seksual sesama jenis terhadap remaja terbabit.

"Kini remaja ini bertarung dengan dua masalah iaitu ketagihan pornografi dan hubungan sesama jenis," katanya.

Tambahnya, meskipun menerima kecaman atas keberaniannya tetapi dia sudah kalis dengan perkara itu kerana memberi fokus kepada niat untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 7:02 AM