Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Polis bersama agensi berkaitan kini berusaha mengesan baki 205 tahanan etnik Rohingya yang masih bebas selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu dekat sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa seramai 528 daripada 663 tahanan di depot imigresen berkenaan melarikan diri pada 4.30 pagi sebelum 88 daripadanya ditahan dengan bantuan penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak imigresen.

Menurutnya, seramai 229 lagi tahanan kemudiannya berjaya ditahan di Kilometer (KM) 168.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini dengan bantuan orang awam sebelum mereka menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

"Terdahulu, sekumpulan tahanan dikatakan melintas jalan dengan menyeberangi lebuh raya namun enam daripadanya terdiri daripada dua lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak maut selepas terbabit kemalangan pada 6.50 pagi di KM165 Lebuh Raya Utara Selatan.

"Ekoran insiden itu, tahanan lain yang menyaksikan kemalangan itu tidak berani melintas, sebaliknya melarikan diri dengan berjalan di tepi lebuh raya yang mereka sendiri tidak pasti sehingga terdapat satu kumpulan anak muda yang membantu menahan kesemua mereka di KM168.2 Lebuh Raya Utara Selatan lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika sidang media di lokasi penahanan tahanan berkenaan di sini, hari ini.

ANTARA Pati berjaya ditahan semula di kilometer (km) 168.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Jawi. FOTO Danial Saad
ANTARA Pati berjaya ditahan semula di kilometer (km) 168.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Jawi. FOTO Danial Saad

Mohd Shuhaily berkata, susulan penahanan yang dibuat hanya tinggal baki seramai 205 lagi untuk dikesan.

"Ia memerlukan tenaga yang sepenuhnya selain bantuan orang ramai bagi mengesan kesemua tahanan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataannya memaklumkan tahanan itu melarikan diri dengan memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang di depot berkenaan.

"Pegawai bertugas kemudiannya mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menghubungi polis dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.

"Sehingga 10 pagi tadi, seramai 362 orang tahanan berjaya ditangkap semula dan gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 11:40 AM