Audrey Dermawan


Georgetown: Seorang tahanan Rohingya yang cedera akibat dirempuh kereta di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selepas cuba melarikan diri dari depot Jabatan Imigresen di Bandar Baharu, Kedah, Rabu lalu, meninggal dunia, semalam.

Mangsa yang merupakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, pagi semalam.

Ia menjadikan seramai tujuh tahanan Rohingya yang terbunuh dalam insiden yang berlaku pada 4.30 pagi, minggu lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika ditemui pemberita mengesahkan kematian mangsa.

Menurutnya, seorang lagi mangsa kemalangan iaitu lelaki berusia 21 tahun masih menerima rawatan di hospital.

"Siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan. Sehingga kini kita sudah merakamkan kenyataan daripada beberapa saksi untuk membantu siasatan berhubung nahas itu," katanya selepas melancarkan Ops Selamat peringkat negeri di bazaar Ramadan Bayan Baru, di sini.

Pada masa sama, Mohd Suhaily berkata, polis masih memburu 61 lagi tahanan Rohingya yang terlepas selepas tangkapan terbaharu berjaya dibuat Isnin lalu.

Ketika ditanya sama ada mereka berjaya meloloskan diri keluar dari Pulau Pinang, Mohd Suhaily berkata kemungkinan itu ada kerana kedudukan sempadan negeri yang berhampiran.

"Apa yang saya bimbangkan ialah kemungkinan tahanan Rohingya ini mendapat bantuan daripada penduduk tempatan.

"Sudah seminggu tahanan ini melarikan diri dan mungkin mereka mendapat bantuan dari segi makanan, sebab itu boleh bertahan daripada ditahan," katanya.

Seramai 528 tahanan etnik Rohingya dilaporkan melarikan diri dari depot Imigresen selepas berjaya memecahkan pintu blok dan pagar penghadang di depot berkenaan.

Penduduk setempat kemudiannya berjaya menangkap 88 daripada mereka sebelum diserahkan semula pihak Imigresen.

Polis Pulau Pinang juga berjaya menahan semula 229 daripada mereka di kilometer (km) 168 PLUS.

Enam daripada tahanan itu bagaimanapun maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika cuba menyeberangi laluan di lebuh raya terbabit.

Mereka yang maut ialah dua lelaki berusia 20 dan 36, dua wanita berusia 18 dan 14, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 6:27 PM