Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis Pulau Pinang sudah mengambil keterangan pemandu kenderaan berhubung kemalangan maut enam pendatang tanpa izin (Pati) selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 165 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), arah selatan berhampiran Jawi, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pemandu yang juga lelaki berusia 50-an dan berasal dari Pulau Pinang itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan masih terkejut dengan kejadian kemalangan.

"Pemandu masih dalam keadaan terkejut dan tidak menyangka ada orang melintas jalan di kawasan lebuh raya itu selain tidak memandu laju ketika kejadian.

"Siasatan masih dijalankan termasuk hubungan enam mangsa terbabit kemalangan yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan.

"Polis sudah mengenal pasti identiti enam mangsa warga Rohingya berkenaan terdiri daripada dua kanak-kanak berusia lapan dan sembilan tahun manakala empat lagi berusia 14, 18, 20 dan 36 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

MOHD Shuhaily. FOTO Mikail Ong
MOHD Shuhaily. FOTO Mikail Ong

Kejadian itu sudah dimaklumkan kepada pihak kedutaan negara terbabit bagi tindakan selanjutnya termasuk urusan pengurusan mayat.

Dalam kemalangan yang dikatakan berlaku pada 6.50 pagi itu, sekumpulan tahanan berkenaan dikatakan mahu menyeberangi lebuh raya terbabit sebelum dirempuh kenderaan.

Dua lagi Pati yang cedera dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap bagi mendapatkan rawatan.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, setakat kini seramai 30 tahanan Pati yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu, semalam, berjaya ditahan semula oleh Polis Pulau Pinang.

Katanya, sehingga jam 10 pagi tadi, dua lagi tahanan berjaya ditahan di kawasan sekitar Nibong Tebal dan polis juga akan menggunakan khidmat bantuan unit udara bagi mengesan kedudukan tahanan yang masih diburu.

"Semalam kita sudah menahan 28 orang dalam kawasan kebun sawit berhampiran kawasan lebuh raya, manakala dua lagi ditahan di Nibong Tebal pada jam 10 pagi tadi dan ia menjadikan baki yang masih dicari ialah seramai 111 orang.

"Bagaimanapun, statistik sebenar adalah daripada pihak imigresen dan kita hanya membantu operasi mencari dan menahan semula mereka yang melarikan diri.

"Kita percaya kebanyakan tahanan yang melarikan diri masih berada di kawasan sekitar Seberang Perai Selatan kerana keadaan diri mereka yang berkaki ayam, tidak makan, dan tidak mempunyai hala tuju," katanya lagi.

Mohd Shuhaily berkata, polis juga menasihati orang awam dan penduduk berhampiran supaya terus menyalur maklumat dan tidak mengambil tindakan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 5:05 PM