M Hifzuddin Ikhsan dan Izad Thaqif Hassan


Bandar Baharu: Kematian membabitkan seorang tahanan mungkin menjadi pencetus kepada kejadian rusuhan dan menyebabkan etnik Rohingya yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap bertindak melarikan diri, kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata siasatan turut mendapati berlaku kesesakan dan ketidakselesaan dalam kalangan tahanan sebelum mereka dihasut bagi melarikan diri.

Namun katanya, rakaman percakapan mendapati kebanyakan tahanan yang melarikan diri selepas dipaksa dan diugut empat dalang utama yang mencetuskan rusuhan.

"Memang ada satu tahanan meninggal dalam depot pada malam Selasa lalu, dan mungkin itu satu titik permulaan dijadikan pencetus kepada tindakan tahanan lain merusuh.

"Namun, kita percaya jika tidak ada dalang yang menghasut, tahanan lain terutama perempuan dan kanak-kanak tidak akan bersama melarikan diri.

"Tetapi apabila ada elemen paksaan dan ugutan dibuat dalang ke atas tahanan lain, maka berlaku rusuhan dan tindakan melarikan diri," katanya pada sidang media di kawasan operasi Bukit Tok Non di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G Suresh Kumar dan Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur.

Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata, empat tahanan dipercayai menjadi dalang utama kejadian dengan dua daripada mereka dikenali sebagai Nur Karim Shir, 34, dan Mohamed Ali, 30, berjaya ditahan semalam.

"Dua lagi dalang utama yang masih bebas dikenal pasti sebagai Muhammad Salim Nur Amin, 21, dan Mohd Yunus, 44, dengan mereka dipercayai masih berada di sekitar kawasan operasi pencarian.

"Operasi mengesan dalang utama dan tahanan lain yang masih bebas akan diteruskan sehingga semua mereka berjaya ditahan semula," katanya.

Dalam kejadian kelmarin, seramai 528 warga asing terdiri dari etnik Rohingya yang juga tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap bertindak merusuh dan melarikan diri pada jam 4 pagi.

Daripada 528 orang yang melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 tahanan itu, seramai enam maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala Selatan berhampiran Jawi.

Susulan daripada itu, polis melancarkan usaha mengesan semula tahanan melalui Op Kesan, Op Cantas dan Op Tutup di Kulim dan Bandar Baharu, Kedah dan di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 6:19 PM
WAN Hassan Wan Ahmad menunjukkan gambar utama dalang utama kejadian rusuhan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap kelmarin. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
WAN Hassan Wan Ahmad menunjukkan gambar utama dalang utama kejadian rusuhan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap kelmarin. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR