Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan seorang lelaki ketika sedang melakukan pengisian minyak diesel melebihi had yang dibenarkan ke dalam
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan seorang lelaki ketika sedang melakukan pengisian minyak diesel melebihi had yang dibenarkan ke dalam
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan seorang lelaki ketika sedang melakukan pengisian minyak diesel melebihi had yang dibenarkan, semalam.

Dalam kejadian 8.45 pagi semalam, lelaki berusia 59 tahun itu mengisi diesel ke dalam dua tong yang ditempatkan di belakang kenderaan dan ia melebihi had yang dibenarkan iaitu sebanyak 200 liter.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Gua Musang, Mohd Koma Shapii berkata, tangkapan itu dilakukan susulan pihaknya mendapat maklumat awam berkaitan kegiatan membeli minyak bersubsidi terbabit untuk tujuan lain selain kegunaan sendiri.

"Pemeriksaan awal mendapati pemandu berkenaan sudah membuat pengisian minyak diesel, kira-kira 400 liter.

"Susulan tangkapan itu, pihaknya turut menyita 400 liter minyak diesel untuk siasatan dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan RM15,000.

"Stesen minyak berkaitan juga disiasat bagi memastikan tiada elemen 'bersubahat' dalam kejadian berkenaan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, lelaki berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan 1961 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga tidak lebih dari RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 9:18 AM