SINDIKET penyeludupan diesel bersubsidi dipatahkan. FOTO  Ihsan PGA
SINDIKET penyeludupan diesel bersubsidi dipatahkan. FOTO Ihsan PGA
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan satu rangkaian sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di sekitar daerah ini dan Klang, Selangor susulan tangkapan tiga suspek lelaki di sebuah premis di Taman Kota Puteri, Masai, kira-kira 12 tengah hari, semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Dimin Awang berkata, sindiket didalangi warga tempatan termasuk seorang warganegara Indonesia berusia antara 36 hingga 40 tahun dipercayai sudah beroperasi sejak dua minggu lalu.

Katanya, pihaknya turut merampas sejumlah alatan, kenderaan pengangkutan dan diesel dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM 1.4 juta.

"Susulan tangkapan itu, kami merampas 51 tong lutsinar berkapasiti 1,000 liter setiap tong, empat mesin pam elektrik, kira-kira 43,000 liter diesel bersubsidi, dua set hos getah lutsinar, sebuah treler tangki Volvo FM berkapasiti 40,000 liter, treler tangki berkapasiti 35,000 liter, treler tangki Hino 500 berkapasiti 25,000 liter dan sebuah lori tiga tan Hino Dutro.

"Hasil pemeriksaan ke atas dua mesin aliran meter mendapati jumlah diesel yang sudah dipam ke dalam tangki melebihi satu juta liter," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menjual diesel dengan harga RM 3.85 per liter kepada pengguna kapal di sekitar Klang, Selangor.

Katanya, bagi mendapatkan bekalan diesel, suspek dipercayai terlebih dahulu berpakat dengan tali barut di stesen minyak terpilih di sekitar Johor Bahru, untuk membeli diesel bersubsidi secara pukal sebelum menyeludupnya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah membeli secara pukal atau mengikut had yang ada di stesen minyak dengan menggunakan lori tangki kecil.

"Kemudian diesel dikumpulkan sebelum diproses untuk penghantaran ke Klang, Selangor menggunakan lori tangki besar.

"Biasanya mereka berpakat dengan stesen minyak terpilih dan kes masih dalam siasatan termasuk mengenalpasti saki baki dalang sindiket ini.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 1,427,350.00.

"Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut," katanya kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 11:45 AM