Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengenalpasti kilang peleburan sisa bahan e-Waste antara penyumbang kepada masalah pencemaran bau yang dikatakan berpunca daripada bahan kimia di sekitar Simpang Pulai, Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin, berkata, susulan itu tindakan dibuat melalui sitaan terhadap peralatan memperoses skrap termasuk e-Waste di kilang terbabit.

"Setakat ini (pencemaran) bau yang diadukan itu sama dengan bau berpunca daripada kilang berkenaan. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ketika menghadiri Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Peringkat Perak di Arena Square Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Akmal Kamarudin. FOTO L.MANIMARAN
Akmal Kamarudin. FOTO L.MANIMARAN

Mohd Akmal berkata, terdapat lebih 100 kilang dikenal pasti berada dalam radius pengesanan pencemaran bau yang didakwa itu.

Katanya, JAS turut tidak menolak kemungkinan bahawa punca bau itu juga berasal daripada sumber atau kilang lain.

"Mengenai bau itu, kilang berkenaan bukanlah satu-satunya punca pencemaran di situ, mungkin ada lagi (sumber) yang lain.

"Buat masa sekarang, tindakan menyita sudah dibuat terhadap sebuah kilang dengan sampel daripada kilang itu juga sudah diambil.

"Jadi kalau ada berlaku lagi aduan pencemaran bau bermakna puncanya adalah dari kilang lain. Proses lanjut masih diteruskan," katanya.

Terdahulu, aduan mengenai pencemaran bau itu mendapat perhatian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang dilaporkan berkata, perkara itu sudah dimaklumkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 8:26 PM