SAARANI Mohamad (tengah) memukul gong sebagai simbolik perasmian program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021, Peringkat Negeri Perak. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
SAARANI Mohamad (tengah) memukul gong sebagai simbolik perasmian program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021, Peringkat Negeri Perak. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Selama: Sebanyak 213.6 metrik tan barangan buangan elektrik dan elektronik berjaya dikumpul dan dikitar semula menerusi Kempen Pengumpulan Buangan Barangan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) Peringkat Negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 485 peratus berbanding hanya 44 metrik tan e-Waste dikumpul dalam kempen sama tahun lalu.

Menurutnya, kejayaan ini hasil pembabitkan dan komitmen 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 25 syarikat yang menyertai kempen ini secara konsisten dengan sokongan tiga kontraktor pengumpulan berlesen di negeri Perak.

"Pembabitan sektor industri tahun ini juga meningkat sebanyak 312 peratus berbanding hanya lapan syarikat yang mengambil bahagian pada 2020.

"Perkembangan ini mencerminkan komitmen sektor industri berkaitan pengurusan buangan e-waste di negeri Perak.

"Kempen yang dilaksanakan sejak 2019 ini bermatlamat menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya dari buangan e-Waste selain meningkatkan kesedaran awam untuk menjaga alam sekitar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Perak, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin.

Menurutnya, jalinan kerjasama menyeluruh membolehkan pelaksanaan sistem pengumpulan dan pembuangan barangan elektrik dan elektronik di dalam negeri Perak dapat dijalankan lebih selamat, tersusun dan berkesan.

"Orang ramai diminta menghantar bahan buangan e-Waste ke pusat pengumpulan secara sukarela dan tidak membuangnya ke dalam tong sampah domestik sedia ada kerana buangan ini bahan bertoksik serta berpotensi mengancam kesihatan selain merosakkan alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 7:33 PM