‘AINU Sham (tengah) beramah mesra dengan komuniti kraf yang menyertai Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Manik Fasa Dua.
‘AINU Sham (tengah) beramah mesra dengan komuniti kraf yang menyertai Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Manik Fasa Dua.
Muhamaad Razis Ismail


Sebaik tiba di Rumah Panjang RH Bujang @ Endawie, Bukit Bethany, Bintulu, Sarawak, kelihatan 15 wanita sedang khusyuk menyiapkan rantai dan anting-anting daripada manik.

Mereka adalah komuniti kraf yang menyertai Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Manik Fasa Dua anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bermula 24 hingga 27 Jun lalu di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK).

Sepanjang program berjalan, peserta dibimbing dan diberi tunjuk ajar oleh usahawan kraf manik, Johiam Jitui bersama dua pereka Kraftangan Malaysia memfokuskan kemahiran anyaman manik teknik sulaman berjurai.

Terdahulu, pada peringkat fasa pertama pada tahun lalu, komuniti ini diberi pendedahan mengenai asas sulaman manik menggunakan peralatan tenunan atau 'loom.'

KEMAHIRAN, ketelitian dan fokus yang tinggi diperlukan menghasilkan produk kraf manik berkualiti.
KEMAHIRAN, ketelitian dan fokus yang tinggi diperlukan menghasilkan produk kraf manik berkualiti.

Penulis bersama rakan media yang menyertai Program Media Turun Padang di Sarawak teruja apabila dapat melihat lebih dekat bagaimana produk kraf manik dihasilkan.

Untuk mencantumkan semua manik yang mempunyai pelbagai warna dengan menggunakan teknik sulaman berjurai bukan perkara mudah kerana ia mempunyai kiraan tertentu, kemahiran, ketelitian dan fokus yang tinggi untuk menghasilkan produk berkualiti.

Peserta, Lusy Akam, 49, berkata, penganjuran program ini amat baik untuk memberi bimbingan kepada penduduk setempat terutama wanita untuk menghasilkan produk kraf daripada manik.

Katanya, melalui penghasilan produk kraf ini, wanita mampu menjana pendapatan sendiri, sekali gus membantu ekonomi keluarga.

ANTARA produk kraf manik yang dihasilkan peserta.
ANTARA produk kraf manik yang dihasilkan peserta.

"Sebelum ini saya tidak bekerja selama hampir tiga tahun atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Saya gembira apabila ditawarkan menyertai program ini sejak ia diperkenalkan pada tahun lalu.

"Dalam tempoh singkat, saya dapat menguasai kemahiran menghasilkan lanyard, rantai kunci, anting-anting dan rantai daripada manik.

"Saya berhasrat menjadi usahawan kraf supaya dapat memasarkan pelbagai produk yang dihasilkan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus dapat menjana pendapatan," katanya dalam Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Manik di bawah PPKK Bintulu yang disempurnakan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk 'Ainu Sham Ramli.

Bagi peserta termuda, Alexandra Adowen, 18, usia bukan penghalang terbabit dalam bidang kraftangan yang sering dianggap lebih sesuai untuk golongan lebih berusia.

"Saya memanfaatkan masa terluang sementara menunggu panggilan melanjutkan pengajian ke matrikulasi untuk menyertai program ini bagi mempelajari kemahiran baharu menghasilkan produk kraf manik.

"Untuk permulaan agak sukar, namun lama-kelamaan saya seronok apabila dapat hasilkan produk kraf dengan usaha sendiri," katanya.

Sementara itu, 'Ainu Sham berkata, Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Manik ini dibangunkan di bawah PPKK bertujuan membangun dan mewujudkan komuniti kraf baharu untuk membabitkan diri secara langsung dalam perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama atau sampingan.

Katanya, PPKK adalah inisiatif Kraftangan Malaysia dalam meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat dengan melatih peserta dari aspek kemahiran teknikal dan keusahawanan berdasarkan bidang kraf yang bersesuaian mengikut penempatan kumpulan komuniti.

"Saya berharap peserta memanfaatkan program ini dengan menghasilkan produk kraf manik yang mempunyai identiti Bintulu daripada segi motif dan bentuk supaya ia berbeza dengan produk yang dihasilkan di daerah lain.

"Kelainan yang ditonjolkan ini dapat membantu meningkatkan permintaan produk kraf manik Bintulu di pasaran bukan sekadar sebagai aksesori, malah boleh dijadikan sebagai cenderamata korporat untuk institusi kerajaan khususnya di Sarawak dan amnya di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 6:16 AM