PAN-gon umum peletakan jawatan hari ini.
PAN-gon umum peletakan jawatan hari ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu mengetahui apakah dimaksudkan bahaya yang diluahkan bekas pengendali negara, Kim Pan-gon.

Pada sidang media khas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, jurulatih dari Korea Selatan itu seolah merahsiakan perkara sebenar di sebalik keputusan melepaskan jawatan sebagai pengendali skuad Harimau Malaya.

Kata Pan-gon, beliau tidak boleh berkongsi perkara sebenar kerana ia dianggap 'bahaya' dan hanya diketahui oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Lantas ia kemudiannya menarik perhatian Tunku Ismail yang mahukan Pan-gon menerangkan lebih terperinci apa yang dimaksudnya bahaya itu.

"Apa susah. Pergi tanya dia (Kim Pan-gon) beramai ramai apa yang dia maksudkan "dangerous". Penyokong, Ahli politik dan pihak media.

"Tanya dia apa maksud dia "dangerous." Nyatakan dengan lebih spesifik. Takut kena tembak? takut kena culik? Kena sepak? Terus terang!"."@RimauXI Awak dulu pernah datang rumah saya, ada kena belasah? Bawa carta berkenaan konspirasi dalam FAM. Tapi bila saya minta bukti, awak bagitau ini semua teori sahaja. Jadi ini semua lagi satu ciptaan konspirasi teori," tulis Tunku Ismail.

Terdahulu, Pan-gon sah meletakkan jawatan selaku pengendali skuad Harimau Malaya selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan negara.

Sepanjang tempoh melatih pasukan sejak Februari 2022 lalu, Pan-gon berjaya membawa skuad negara ke pentas Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lalu serta menaikkan ranking negara dari kedudukan 154 ke 130 dunia.

Susulan keputusan Pan-gon itu, bekas pembantunya iaitu Pau Marti Vicente diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad negara sebagai pemangku jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 9:47 PM