Kilang e-waste.
Kilang e-waste.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Semenyih: Kerajaan negeri Selangor hari ini mengakui kilang memproses sisa elektronik dan elektrik (e-waste) haram masih beroperasi di Klang dan Banting.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, disebabkan itu, beliau memberi jaminan pada masa akan datang lebih banyak serbuan akan dilakukan di kilang e-waste ini.

"Mengapa ada kilang yang melakukan aktiviti haram sebegini? Kerana sebenarnya pengumpulan e-waste ini boleh memberikan pulangan tunai.

"Oleh kerana itu, kita tidak mahu kilang haram ini melakukan perkara haram sebegini lagi. Pada masa sama, kita akan mengambil tindakan berat dan tegas terhadap mereka yang menjalankan aktiviti haram sebegini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Projek Perintis Program Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik di Stesen Minyak Petron Rinching, di sini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor Nor Aziah Jaafar dan Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia Shaliza Mohd Sidek.

Bulan lalu, dilaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu kilang yang menjalankan operasi memproses e-waste secara haram di Klang, Selangor.

Mengulas lanjut, Jamaliah turut menggesa agar kilang haram ini untuk beroperasi secara sah di sini undang-undang.

"Pada masa akan datang, kita mahu menggalakkan kilang ini janganlah jadi kilang haram, tetapi jadilah kilang yang sah dari segi undang-undang dan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar serta kerajaan negeri.

"(Ia) supaya mereka mengumpul e-waste dengan sah, betul dan pada masa sama, menggalakkan budaya baru terhadap pengumpulan e-waste," katanya.

Dalam pada itu, Jamaliah berkata, pihaknya melihat kebanyakan penduduk atau rakyat negara ini mempunyai cabaran mengenai e-waste, apabila mereka tidak mengetahui tempat untuk membuangnya.

Disebabkan itu, projek rintis program pengumpulan buangan e-waste ini dilakukan di stesen minyak.

"Itu (stesen minyak) tempat di mana semua penduduk atau warga Selangor dan rakyat Malaysia pergi kerana ia melibatkan kehidupan seharian," katanya.

Beliau juga menggesa penduduk Selangor tidak membuang e-waste ke dalam tong sampah, sebaliknya menyerahkan kepada syarikat pengumpulan yang melakukannya.

Katanya, dengan penyerahan itu, mereka boleh mendapat inisiatif atau pulangan tunai yang berpatutan.

"Pada masa hadapan, apabila ada barangan elektronik dan elektrik, mereka tidak buang terus ke tong sampah.

"Kumpulkan pada masa bersesuaian, berikan kepada syarikat pengumpulan e-waste supaya boleh dapat pulangan tunai. Perkara ini bukan hanya situasi menang-menang kepada penjual, tetapi paling penting adalah kepada alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 1:44 PM