BUAYA kelihatan menggigit kambing di Sungai Ayer Salak (gambar kiri). Gambar kanan penduduk membantu anggota Perhilitan memasang perangkap buaya. FOTO Ihsan Pembaca
BUAYA kelihatan menggigit kambing di Sungai Ayer Salak (gambar kiri). Gambar kanan penduduk membantu anggota Perhilitan memasang perangkap buaya. FOTO Ihsan Pembaca
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tiga kambing dibaham buaya tembaga sejak Mei lalu menyebabkan seorang penternak di Kampung Tengah, Pulau Gadong, Klebang, di sini, 'berputih mata' apabila kerugian ribuan ringgit.

Terbaharu, dalam kejadian kira-kira 6.35 petang semalam, seekor kambing betina baka Boer disambar buaya ketika dilepaskan meragut rumput di tebing Sungai Ayer Salak di kampung itu.

Penternak, Muhammad Hafiz Haiqal Abdullah, 28, berkata, dia pasrah dan berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka dapat menangkap atau menembak buaya berkenaan.

"Apa lagi pilihan saya ada. Kambing itu perlu dilepaskan juga untuk meragut rumput, namun menjadi sasaran mudah buaya.

"Lebih membimbangkan jika ada penduduk termasuk kanak-kanak dan pemancing pula diserang buaya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian berasingan, kemunculan buaya di Sungai Melaka berdekatan Kampung Morten, di sini, turut meresahkan penduduk yang menggesa tindakan segera Perhilitan.

Seorang penduduk, Mohd Daud Mohd, 56, mendakwa kelibat buaya boleh dilihat setiap hari di lubuk dekat pintu air di Kampung Morten sekitar 8.30 hingga 8.45 pagi.

"Pagi tadi, saya nampak ramai orang termasuk pelancong melihat dan merakam gambar buaya di sungai ini...takkan nak tunggu ada orang jadi mangsa baru nak bertindak," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka Petra Sulai ketika dihubungi mengesahkan pihaknya memantau kehadiran reptilia itu di dua kawasan terbabit termasuk memasang perangkap di Sungai Ayer Salak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 11:58 PM