MAHU pelbagaikan lagi muzik pop Mandarin dengan konsep berbeza.
MAHU pelbagaikan lagi muzik pop Mandarin dengan konsep berbeza.
Georgie Joseph

Begitu dedikasinya penyanyi serba boleh, Lay Zhang mahu tinggalkan legasi tersendiri, cukup terserlah ketika dia menjayakan konsertnya Grandline 4: Step yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.

Lay atau nama sebenarnya Zhang Yixing, 33, ada visi berat tertentu dalam memajukan muzik pop Mandarin atau M-Pop. Apalagi, sepanjang kariernya dia lebih mendunia sebagai bintang K-Pop dan sebagai anggota EXO.

Tapi, tatkala menjalani aktiviti solonya, di situ kuat terlihat elemen dirinya yang lebih berbeza. Kecenderungan dan cintanya kepada M-Pop benar-benar menebal serta dilakukan bersungguh-sungguh.

Pada konsert anjuran InTour Live dihadiri lebih 3,000 penonton itu, dia turut menekankan bahawa usahanya akan berterusan dalam majukan muzik M-Pop. Dia juga tahu muzik sebegitu mampu diperluas.

"Terima kasih untuk semua sokongan yang kamu berikan sehingga ini. Demikian juga selalu melihat apa juga perkembangan dan kemajuan yang berlaku dalam diri saya.

"Betulkah konsep M-Pop ini semakin berulang? Saya akan cuba sedaya upaya untuk mempelbagaikan lagi muzik ini dengan konsep berbeza.

"Saya yakin M-Pop juga mampu diangkat sebagai pop berbilang budaya atau pop moden. Akan lebih banyak karya sebegini bakal saya persembahkan pada masa akan datang," katanya.

Namun, bagi Lay, dalam hatinya sentiasa menyasarkan setiap persembahan atau corak karya daripadanya mencetus impak bahagia. Tidak kisah jika lagunya tidak difahami segenap lapisan peminat setianya.

"Untuk semua yang hadir, tidak kira bangsa atau bahasa, semoga saya dapat memberi semua kegembiraan dan kasih sayang. Harap muzik saya bagi kebahagiaan dan harapan," katanya.

Pada konsert itu, Lay mempersembahkan aksi cukup ikonik bagi melambangkan nilai artistiknya. Seakan-akan dia ingin tekankan bahawa dirinya bukan sekadar bintang pop semasa.

LAY ingin terus martabat muzik M-Pop.
LAY ingin terus martabat muzik M-Pop.

Melihat keseluruhan pementasan, baik busana, koreografi, corak komunikasi, dan bahasa tubuhnya, mengingatkan kepada kegemilangan penyanyi Tiong Hua legenda zaman dulu.

Memang Lay ada membawa ciri-ciri itu meskipun dia adalah penghibur generasi milenial. Namun, ada pemberat luar biasa dalam julat artistik disajikannya yang mampu dijadikan legasi sampai ke hari tuanya nanti.

Dia bukan sekadar bernyanyi dan menari. Dia adalah penghibur versatil yang cukup berbakat bermain instrumen muzik dengan cemerlang termasuk piano. Demikian juga cekap bermain gitar.

Sifat semula jadi dalam menghibur pun cukup terserlah pada dirinya. Dalam pada cuba memberikan nyanyian sempurna, dia tidak juga ketinggalan menyelitkan idea spontan pada persembahannya.

Antara momen yang pastinya sangat mencuit hati ramai adalah ketika menyanyikan lagu Sate Sedap. Serta-merta ia mencetuskan keceriaan berganda di wajah setiap peminat.

Dia juga sempat mendedikasikan sebuah momen istimewa buat ibunya. Dia menyanyikan lagu hari jadi dalam empat dialek berbeza dan momen itu ternyata sangat berharga buat dirinya secara peribadi.

Menuju puncak konsert terbabit, suasana dewan kian jadi tidak keruan dengan permainan muzik adunan DJ yang cukup bertenaga. Lay pun masih tidak kekang daripada kelincahannya.

Antara lagu dipersembahkan termasuk Step, I Need U, Boom, Namanana, Mapo Tofu, Right Back dan Breathe. Persembahannya dilakukan tanpa putus-putus dan momentumnya tidak tergugat pun.

Ketika lagu Right Back, dia turun pentas untuk lebih dekat dengan peminat. Interaksinya sangat ikhlas dan memberikan pengalaman cukup indah buat penyokong yang selama ini tidak putus menerimanya.

Selain menjayakan konsert terbabit, Lay juga dilihat santai makan-makan di Jalan Alor, Bukit Bintang, KL. Bahkan, ada peminat yang mengecamnya dapat peluang mengambil foto bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 6:00 AM