GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Polis menahan tujuh individu berhubung kes pecah masuk premis menjual komputer di Bandar Damai Perdana Cheras, di sini, dalam beberapa serbuan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan dibuat pengawal keselamatan di premis berkenaan Sabtu lalu.

Beliau berkata, pengawal keselamatan itu dalam laporannya mengatakan dia diserang sekumpulan 15 hingga 20 lelaki menggunakan pemukul besbol ketika bekerja di premis perniagaan komputer berkenaan.

Menurutnya, suspek memecah masuk dan melarikan peralatan perkakasan komputer yang berada di dalam premis di tingkat satu yang dianggarkan bernilai RM70,000.

"Suspek menggunakan kenderaan Nissan Navara, Toyota Hiace, Perodua Alza dan Proton Exora ketika kejadian itu berlaku.

"Kenderaan mangsa juga dirosakkan suspek ketika dia cuba menghalang mereka melarikan diri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaid berkata, susulan itu, pada 12.30 tengah malam tadi, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menjalankan beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang.

"Hasil serbuan membuat tangkapan ke atas tujuh suspek berusia 30 tahun sehingga 36 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

"Hasil serbuan polis merampas tiga kereta, sebuah van, lima telefon bimbit, dua komputer riba, dan 36 mesin bitcoin," katanya.

Katanya, suspek yang ditahan mengaku terbabit di dalam kes ini dan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Polis meminta mana-mana individu yang ada maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 atau IPD Kajang di talian 03-89114222 bagi menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu siasatan.

Harian Metro semalam melaporkan, polis mengesahkan ada menerima empat laporan kes pecah masuk premis menjual komputer di Bandar Damai Perdana di sini, termasuk kes terbaharu pada Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 4:42 PM