Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Raja Noraina Raja Rahim dan Anis Syuhada Mohd Rosli

Kajang: Polis mengesahkan ada menerima empat laporan kes pecah masuk premis menjual komputer di Bandar Damai Perdana di sini, termasuk kes terbaharu pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, satu kes selesai disiasat membabitkan empat tangkapan, manakala dua kes tidak cukup keterangan dan satu kes masih dalam siasatan.

"Empat suspek yang ditahan sebelum ini sudah dituduh mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan di Mahkamah Kajang pada 8 September tahun lalu.

"Dua kes lagi tiada pertuduhan kerana tiada keterangan yang mencukupi bagi mendakwa mereka.

"Hasil siasatan dijalankan, sekumpulan suspek yang datang ke premis itu adalah dengan niat mahu memecah masuk dan mencuri mesin bitcoin yang disyaki beroperasi dalam premis berkenaan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, semakan polis juga mendapati premis itu pernah diserbu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana disyaki menjalankan aktiviti melombong bitcoin secara haram yang mana enam lelaki ditahan dan 364 mesin Ethereum dirampas dalam serbuan terbabit.

"Dalam serbuan itu juga, dua lelaki termasuk pemilik premis didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 37(3)(d) Akta Bekalan Elektrik 1990 pada 14 Julai tahun lalu, manakala suspek lain akan diambil tindakan alternatif mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya.

Beliau mengulas mengenai dakwaan pengurus premis yang mengalami kerugian besar selepas empat kali dipecah masuk sekumpulan penjenayah bersenjata.

Dalam kejadian yang rakaman videonya turut tular itu, pengawal keselamatan premis itu diserang sekumpulan lelaki dianggarkan 15 orang menggunakan kayu besbol sebelum memecah masuk premis dan melarikan peralatan komputer dianggarkan bernilai RM70,000.

Mohd Zaid menyeru masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran awam melalui video yang tular baru-baru ini.

"Polis sentiasa memandang serius kejadian jenayah yang berlaku dan akan membuat siasatan secara adil terhadap mana-mana laporan polis dibuat," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berita berkaitan

Sudah empat kali dirompak

15 lelaki samun guna kayu besbol

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 6:08 PM