GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Abang tiri seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang lemas di kolam renang apartmen di Bangi, 13 September lalu, ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang berusia 26 tahun ditahan Ahad lalu.

Kata beliau, suspek ditahan selepas penelitian dijalankan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang baru dapat diakses.

"Penelitian yang dijalankan berdasarkan rakaman CCTV itu mendapati, ketika kejadian, suspek turut berada di lokasi berkenaan.

"Suspek dilihat sedang leka melakukan sesuatu sambil melihat sahaja mangsa yang sedang lemas tanpa melakukan sesuatu untuk menyelamatkannya," katanya pada kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Serdang yang menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri, 13 September lalu.

"Siasatan mendapati, kira-kira jam 3 petang, mangsa dipercayai lemas ketika mandi di apartmen berkenaan sebelum dibawa ke klinik dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Serdang.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 petang, keesokan harinya selepas mendapatkan rawatan.

"Pada awalnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Mohd Zaid berkata, suspek ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 11:47 AM