Lelaki yang disyaki terbabit kejadian samun kedai emas di Jalan TAR, Kuala Lumpur ditahan polis di sebuah hotel di Taiping, Perak hari ini. Foto Ihsan PDRM
Lelaki yang disyaki terbabit kejadian samun kedai emas di Jalan TAR, Kuala Lumpur ditahan polis di sebuah hotel di Taiping, Perak hari ini. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Dalang utama kejadian rompakan sebuah kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, pada 23 Mac lalu membabitkan kerugian sebanyak RM5,000 ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Taiping, Perak, pada pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sebuah hotel di Taman Aor Jaya, Taiping pada 4.30 pagi.

Menurutnya, polis turut merampas 12 utas gelang kaki kanak-kanak yang ditemui dalam simpanannya serta sebuah motosikal.

"Susulan penahanan itu, kita menahan empat lagi suspek untuk membantu siasatan.

"Setakat ini, lima suspek termasuk dalang utama berusia antara 29 hingga 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes itu," katanya dalam satu kenyataan.

Noor Dellhan berkata, pihak BSJ IPD Dang Wangi kini sedang giat mengesan barang kemas lain yang dilarikan dalam kejadian itu.

"Kesemua suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta yang sama," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit kejadian samun kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman itu.

Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dilaporkan menerima laporan mengenai kejadian pada 2.47 petang.

Seorang lelaki didakwa masuk ke dalam premis dipercayai sambil sebatang besi yang dibalut dengan kain lalu memecahkan rak pameran barang kemas.

Lelaki itu kemudiannya melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Honda Dash.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 8:25 PM