GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Polis Pulau Pinang membuka dua kertas siasatan sepanjang tempoh 12 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ia membabitkan kesalahan merosakkan bahan kempen dan mengedarkan risalah menyalahi undang-undang.

Menurutnya kedua-kedua kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"(Kini), berbaki tiga hari menjelang hari mengundi Sabtu ini, polis menasihatkan semua pihak supaya tidak menimbulkan provokasi semasa berkempen, termasuk (melakukan perbuatan) khianat atau merosakkan bahan kempen" katanya tadi.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, semua pihak juga dinasihatkan sekali lagi supaya tidak memainkan isu Raja, Agama dan Kaum (3R) sepanjang tempoh berkempen.

"Ini kerana polis sentiasa memantau aktiviti di media sosial bagi mengesan sebarang penyebaran berita palsu,fitnah atau hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana- mana parti politik atau individu yang melanggar undang- undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, secara keseluruhannya polis meluluskan 135 permit sepanjang tempoh kempen bermula 22 Jun lalu.

"Kesemua permit itu telah diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Chong Boo Khim dan tidak ada satu pun permohonan yang ditolak," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding 22 Jun hingga 11.59 malam, 5 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 12:28 PM