JOE Biden. FOTO Reuters
JOE Biden. FOTO Reuters
AFP

Washington: Penarikan diri Joe Biden daripada 'perlumbaan' untuk Rumah Putih dilihat agak mustahil, tetapi jika ia berlaku, sudah ada khabar angin mengenai kemungkinan calon penggantinya.

Berikut adalah nama-nama disebut boleh menggantikan Biden sebagai calon Demokrat untuk menentang calon Republikan, Donald Trump.

Kamala Harris. 59.

Naib presiden Amerika Syarikat (AS) ini berada di Pejabat Oval, Rumah Putih, sejak Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden pada Januari 2021.

Harris, 59, anak perempuan kepada bapa berbangsa Jamaica dan ibu berketurunan India. Beliau adalah individu kulit hitam pertama dan wanita pertama yang berkhidmat sebagai Peguam Negeri California, dan kemudian menjadi senator AS pertama berketurunan Asia Selatan.

Beliau kini adalah wanita dan individu kulit hitam pertama dilantik sebagai Naib Presiden.

Gavin Newsom, 56.

Gabenor California ini menerajui negeri paling ramai penduduk di AS. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar San Francisco.

Setakat ini, beliau teguh menyokong Biden dan menolak cakap-cakap untuk menggantikannya, dengan berkata, "perbualan" sedemikian "tidak membantu demokrasi kita".

Tetapi Newsom juga sedikit merahsiakan mengenai cita-cita untuk menjadi presiden.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beliau meningkatkan perjalanan antarabangsanya, menyiarkan berbilang iklan yang menggembar-gemburkan rekodnya dan melabur berjuta-juta dolar dalam jawatankuasa tindakan politik, mencetuskan spekulasi bahawa beliau akan bertanding pada 2028. Jadi mengapa tidak pada 2024?

Gretchen Whitmer, 52.

Seorang lagi calon Demokrat yang mungkin ialah Whitmer yang juga Gabenor Michigan.

Negerinya mempunyai penduduk kelas pekerja yang kuat dan komuniti kulit hitam dan Arab-Amerika - semua kumpulan pengundi utama yang sokongannya cuba diraih Biden.

Michigan akan menjadi salah satu negeri medan pertempuran yang penting dalam pilihan raya presiden 5 November depan - dan menurut penyokongnya, ia hujah kuat untuk menamakan Whitmer sebagai calon.

Whitmer sendiri menolak spekulasi mengenai sebarang pencalonan, dengan mengatakan beliau "berbangga untuk menyokong Joe Biden sebagai calon kami."

"Saya berada di belakangnya 100 peratus dalam perjuangan untuk mengalahkan Donald Trump," katanya.

Josh Shapiro, 51.

Gabenor Pennsylvania ini negeri 'swing state" terbesar pada pilihan raya presiden, November depan.

Lelaki ini dipilih sebagai gabenor pada November 2022 selepas kemenangan meyakinkan ke atas saingan konservatif. Beliau sebelum ini dua kali dipilih sebagai Peguam Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 12:19 PM