POLIS menumpaskan sindiket pelaburan tidak wujud dan perjudian dalam talian selepas menyerbu sebuah premis. FOTO ihsan PDRM
POLIS menumpaskan sindiket pelaburan tidak wujud dan perjudian dalam talian selepas menyerbu sebuah premis. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pelaburan tidak wujud dan perjudian dalam talian selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Bukit Bintang, di sini, dan menahan empat individu warga asing, semalam.

Dalam serbuan jam 3.45 petang itu, Bahagian Risikan/Operasi, Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, hasil dari serbuan itu, polis menahan empat individu warganegara asing terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 30 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan ini.

"Turut dirampas lima unit telefon bimbit pelbagai jenama, lapan komputer riba pelbagai jenama, lima set tablet pelbagai jenama, satu unit modem, satu unit router, satu set komputer, serangkai kunci dan wang tunai bernilai RM125.

"Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini sudah beroperasi selama hampir sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, semua yang ditahan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Justeru Polis Dang Wangi menasihatkan supaya orang ramai tidak membabitkan diri dengan kegiatan perjudian dan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan ke IPD Dang Wangi ditalian 03-26002222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 7:20 PM