ANTARA individu yang ditahan dan barang yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA individu yang ditahan dan barang yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penipuan menawarkan pekerjaan secara dalam talian selepas menahan lima individu dan dua warga asing ketika serbuan di sebuah premis di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengesan satu kes penipuan yang menawarkan pekerjaan secara dalam talian.

Menurutnya, susulan itu, sepasukan Polis dari Bahagian Risikan/Operasi, Siasatan Jenayah Komersil IPD Dang Wangi membuat serbuan di sebuah premis di Jalan Ampang, di sini.

"Hasil serbuan itu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga asing berusia 18 hingga 26 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.

"Turut dirampas 53 unit telefon bimbit dan lima komputer riba pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket ini sudah beroperasi hampir sebulan.

"Setakat ini mangsa penipuan dalam talian ini masih belum dikenalpasti.

"Bagaimanapun kesemua tangkapan ditahan reman selama dua hari bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 7:29 PM