ADIK Zayn Rayyan kini dijaga dibawah jagaan jagaan JKM. FOTO ihsan Zahari Mohd Reba
ADIK Zayn Rayyan kini dijaga dibawah jagaan jagaan JKM. FOTO ihsan Zahari Mohd Reba
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih dalam proses menyediakan laporan pihak berkenaan berkaitan adik kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin yang kini dalam jagaan agensi itu.

Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, seperti sedia maklum, JKM mendapat perintah daripada mahkamah untuk menempatkan kanak-kanak itu selama dua bulan.

"Adik kepada Zayn akan berada di situ sehingga Ogos ini dan kita masih dalam proses menyediakan laporan pihak pihak berkenaan.

"Selepas itu kita akan menunggu pihak mahkamah nanti yang akan menentukan keputusannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan adik kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin akan ditempatkan di institusi kebajikan selama dua bulan.

Ia selepas JKM mendapat Perintah Jagaan Sementara mengikut Seksyen 25(2), Akta Kanak-kanak 2001 dari Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

Azmir dilaporkan berkata, kanak-kanak itu akan ditempatkan di Institusi Kebajikan bagi tempoh dua bulan sementara penyediaan laporan siasatan Orang Yang Layak dan Sesuai lengkap.

Terdahulu ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu, tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 11:59 AM