Mohd Adam mencari ibu kandung yang terpisah sejak berumur lima bulan. FOTO Ihsan JKM Besut
Mohd Adam mencari ibu kandung yang terpisah sejak berumur lima bulan. FOTO Ihsan JKM Besut
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Seorang kanak-kanak lelaki memohon bantuan orang ramai untuk menjejaki ibunya yang terpisah sejak berusia lima bulan, 10 tahun lalu.

Mohd Adam Irwan Shah, 10, kini berada di bawah jagaan seorang wanita berusia 54 tahun di Kampung Gong Manok, Besut.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Besut, Zulbahri Ibrahim berkata, mereka menerima aduan kanak-kanak itu ditinggalkan ketika berusia lima bulan di sebuah rumah sewa di Pulau Pinang pada Oktober 2014.

"Kita dimaklumkan, ibu kandung kanak-kanak itu dikenali sebagai Nazaria adalah seorang warganegara Indonesia bertindak meninggalkan Adam tanpa sebarang bukti kelahiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulbahri berkata, pada 12 Jun lalu, kanak-kanak itu mendapat permohonan Perintah Jagaan Sementara di bawah Seksyen 19 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 daripada Mahkamah Majistret Daerah Besut untuk ditempatkan dalam jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) sehingga kini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang ibu kandung kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Besut, NorJuliyana Nazar di talian 09-6956042 atau 09-6953951.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 12:21 PM