Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis sedang mencari dua individu yang didakwa berselisih faham di Jalan Petaling di sini, hingga rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan klip video dimuat naik pemilik akaun Tiktok @nanaomeyyyyyyy yang menunjukkan kejadian membabitkan dua orang itu pada 3.27 petang hari ini.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sudah menjalankan usaha mengesan individu terbabit sebaik sahaja klip video berkenaan tular.

"Siasatan akan dijalankan dan pihak polis memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil bagi membantu siasatan.

"Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa perkara serta tindakan yang menyalahi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 8:55 PM