Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan dua individu yang berselisih faham di Jalan Sungai Besi, Pudu, sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan klip video dimuat naik pemilik akaun Tiktok @ikkk247 pada 5.03 petang hari ini yang menunjukkan kejadian perselisihan faham membabitkan dua orang dengan seorang daripadanya menghalang laluan jalan raya.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sudah menjalankan usaha mengesan individu yang terbabit sebaik sahaja klip video berkenaan tular.

"Siasatan akan dijalankan berkaitan kejadian itu dan pihak polis memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil bagi membantu siasatan.

"Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa perkara serta tindakan yang menyalahi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Arfizal Aizat Md Ariff di talian 012-7883138 atau IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 11:38 PM