GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Flat Seri Alam 2 di sini, seperti didakwa seorang pengguna Twitter, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek berusia 20 dan 24 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Dang Wangi selepas satu akaun media sosial memuat naik kenyataan seorang pekerjanya terbabit pergaduhan.

"Suspek kini ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pengguna Twitter itu mendakwa sekumpulan 13 individu menetak bertubi-tubi seorang pekerjanya di Cheras, selain memohon jasa orang ramai mengesan individu terbabit.

Dua daripada pekerjanya mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Difahamkan pergaduhan berlaku akibat salah faham antara mangsa dan suspek yang menghantar mesej peribadi kepada seorang wanita di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 3:40 PM