ALVAREZ disenaraikan dalam skuad 18 pemain Argentina ke Paris 2024. FOTO REUTERS
ALVAREZ disenaraikan dalam skuad 18 pemain Argentina ke Paris 2024. FOTO REUTERS
Reuters

Texas: Argentina menamakan Julian Alvarez dan Nicolas Otamendi dalam skuad ke Sukan Olimpik Paris 2024, walaupun kedua-duanya kini beraksi di Copa America.

Barisan 18 pemain skuad Olimpik itu dilatih Javier Mascherano dan pemenang dua pingat emas Olimpik itu memanggil Otamendi, 36, dan penjaga gol berusia 32 tahun, Geronimo Rulli dalam kalangan pemain lebih usia.

Penyerang Manchester City, Alvarez dan bek tengah Benfica, Otamendi sudah bermain lebih 50 kali pada musim ini sama ada untuk kelab atau negara.

Bersama-sama Rulli yang turut berada dalam skuad di Copa America, trio berkenaan akan menyertai Mascherano sebaik kejohanan berakhir.

Argentina akan berdepan Ecuador di suku akhir Copa America, Jumaat ini.

Kapten yang membantu Argentina muncul juara Piala Dunia dan Copa America, Lionel Messi menolak untuk bermain di Olimpik kerana pemain berusia 37 tahun itu memberi alasan perlu menguruskan beban kerjanya dengan baik.

Acara bola sepak di Paris 2024 bermula pada 24 Julai iaitu 10 hari selepas final Copa America dan Argentina berada satu kumpulan dengan Maghribi, Iraq dan Ukraine dalam kejohanan membabitkan 16 pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 12:34 PM