GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit kejadian samun kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan mengenai kejadian pada 2.47 petang.

"Seorang lelaki masuk ke dalam premis dipercayai membawa sebatang besi yang dibalut dengan kain lalu memecahkan rak pameran barang kemas.

"Suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Honda Dash. Jumlah kerugian dianggarkan RM5,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, semasa kejadian terdapat dua pekerja dan mereka tidak dicederakan suspek.

Katanya, polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 11:09 PM