AWANG Hashim (tengah) ketika mendengar taklimat ketika lawatan ke Hospital Pendang. FOTO Noorazura Abdul Rahman
AWANG Hashim (tengah) ketika mendengar taklimat ketika lawatan ke Hospital Pendang. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Pendang: Kerajaan akan mengumumkan kos baharu pengambilan pekerja domestik Indonesia selepas Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya ditandatangani pada April ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, struktur kos RM7,800 yang dimaklumkan sebelum ini adalah berdasarkan persetujuan Kumpulan Kerja Bersama Kesembilan pada September 2013.

"Itu adalah kos lama berdasarkan MoU yang sudah tamat pada 2016. Memorandum pekerja domestik Indonesia yang baharu dijadualkan ditandatangani kedua-dua negara (Malaysia-Indonesia) di Jakarta pada awal April ini.

"Jadi struktur kos pengambilan domestik Indonesia akan diumumkan selepas MoU ini ditandatangani," katanya ketika ditemui selepas melawat tapak di Hospital Pendang di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Ibrahim Ahmad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Othman Warijo.

Ditanya sama ada akan berlaku kenaikan kos dalam pengambilan pekerja domestik itu, Awang berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan beberapa faktor, namun beliau tidak dapat menjangkakan kadar peningkatan atau jika berlaku penurunan.

"Kita akan semak semula dari semasa ke semasa" katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Hospital Pendang yang dalam pembinaan sejak 2018 di Kampung Banggol Pauh, di sini sudah 95 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Katanya, ia akan mula beroperasi selepas peralatan dan mesin perubatan dari luar negara dibawa masuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 4:45 PM