GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Kos pengambilan pekerja domestik Indonesia berjumlah RM7,800 yang dimaklumkan dalam Dewan Rakyat, hari ini berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) yang lama.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim menjelaskan kos merangkumi RM6,000 yang ditanggung pihak Malaysia dan RM1,800 di pihak Indonesia, adalah di bawah MoU yang dimeterai pada 2013.

Menurutnya, kos pengambilan pekerja domestik Indonesia baharu masih belum dimuktamadkan ketika ini, dan hanya akan diumumkan selepas kedua-dua negara menandatangani MoU yang baharu, bulan depan.

"Berhubung dengan jawapan di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan), ingin saya tekankan bahawa kos pengambilan perkhidmatan domestik Indonesia adalah sebanyak RM7,800.

"Struktur kos ini adalah berdasarkan Kumpulan Kerja Bersama Ke-9 pada September 2013 salam MoU yang telah tamat pada 2016. MoU perkhidmatan pekerja domestik Indonesia yang baharu dijadualkan untuk ditandatangani oleh kedua-dua negara di Jakarta pada awal April 2022.

"Struktur kos pengambilan pekhidmat domestik Indonesia akan diumumkan selepas MoU itu dimuktamadkan kelak," katanya dalam sidang media di Parlimen, di sini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Awang memaklumkan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia ditetapkan sebanyak RM7,800 berdasarkan MoU yang ditandatangani antara Malaysia dan negara itu.

Beliau berkata, sekiranya terdapat pihak yang mengenakan kos melebihi jumlah itu, mereka perlu membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Bagaimanapun, jawapan itu menimbulkan sedikit kekeliruan berikutan beliau tidak memperincikan sama ada kos itu adalah bagi MoU yang lama atau MoU yang baharu.

Sabtu lalu, Kementerian Ketenagakerjaan Indonesia dilaporkan berkata, Indonesia dan Malaysia mencapai kesepakatan penyelesaian draf MoU mengenai penempatan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.

Kesepakatan yang dicapai dalam MoU itu termasuk gaji, cuti mingguan dan tahunan, hak berkomunikasi, larangan menahan pasport dan seorang PDI berkhidmat bagi isi rumah tidak melebihi enam orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 4:32 PM