M Saravanan. FOTO BERNAMA
M Saravanan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Isu berkaitan memorandum persefahaman (MoU) berhubung Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) akan dimuktamadkan dalam lawatan kerja Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan ke Jakarta, Indonesia, Isnin ini.

Saravanan dalam kenyataannya hari ini berkata, beliau dijadualkan bertemu rakan sejawatnya Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia Ida Fauziyah bagi memuktamadkan perkara itu supaya MoU terbabit dapat ditandatangani pada 7 dan 8 Februari ini di Bali.

"Ini juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Januari lalu agar satu lawatan diadakan bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung pemeteraian MoU terbabit.

"Isu-isu utama berkaitan dengan MoU tersebut berhubung One Maid One House, One Channel System dan gaji PDI sudah pun disepakati menerusi siri rundingan antara kedua pihak," katanya.

Beliau berkata, MoU terdahulu sudah ditandatangani Menteri Sumber Manusia pada 2006 di Bali dan protokol bagi meminda MoU berkenaan sudah ditandatangani di Bandung, Indonesia pada 2011.

Saravanan berkata, pertemuan itu akan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga dalam siri lawatan kerja ke Indonesia minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 1:28 PM