GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh Malaysia dan Indonesia bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI), baru-baru ini, mengundang pelbagai reaksi pihak berkaitan, khususnya yang mewakili majikan.

Mereka menyifatkan MoU itu lebih memihak kepada PDI berikutan beberapa inisiatif dan peraturan ketat yang dikenakan terhadap majikan dalam usaha kedua-dua kerajaan menjamin kebajikan tenaga kerja Indonesia (TKI).

Apatah lagi dikatakan ada kandungan memorandum itu yang tidak didedahkan seperti laporan sebuah portal berita yang mendakwa majikan Malaysia perlu membayar gaji minimum RM1,500 kepada PDI.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dalam kenyataan balasnya menjelaskan kadar gaji pembantu domestik dari negara jiran itu bermula pada kadar RM1,200 sebulan, iaitu berdasarkan pelaksanaan dasar gaji minimum semasa negara.

Di sebalik penjelasan Saravanan, pihak yang berkenaan terus membangkitkan pelbagai isu yang disifatkan mereka tidak adil untuk majikan.

Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa) Datuk Foo Yong Hooi berkata, selain berat sebelah, kadar gaji minimum RM1,500 yang termaktub dalam MoU itu diputuskan tanpa mengambil kira kos sebenar yang ditanggung majikan.

"Jika majikan perlu membayar gaji minimum amah sebanyak RM1,500, kemudian bagi bilik dan tanggung kos makan minum pekerja di rumah, (kos) ini tidak berbaloi.

"Bagi mereka yang kurang berkemampuan tetapi mahukan pembantu rumah untuk menjaga orang tua atau anak mereka, ini agak membebankan," katanya kepada Bernama.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau mencadangkan kerajaan membenarkan pelaksanaan pembantu rumah separuh masa yang dikendalikan oleh Agensi Pekerjaan Swasta (APS).

"Sekiranya kita mahu pembantu rumah duduk bersama, majikan perlu sediakan bilik, dan bagi majikan yang tidak dapat menyediakan bilik, mungkin mereka boleh mengambil pembantu rumah separuh masa.

"Pembantu rumah boleh datang ke rumah (majikan) mengikut keperluan… penginapan amah pula boleh diuruskan agensi pekerjaan swasta yang lebih berpengalaman," katanya yang turut kecewa kerana Kementerian Sumber Manusia tidak mengadakan sesi libat urus bersama persatuan agensi pekerjaan sebelum menandatangani MoU itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein meminta kerajaan menjelaskan secara terperinci butiran MoU itu, terutama kos yang perlu dibayar oleh majikan.

"MoU yang ditandatangani tidak jelas, seolah-olah berat sebelah… bagi saya majikan juga berhak menuntut ganti rugi termasuk kos tempat tinggal, makan dan minum sekiranya pembantu rumah melarikan diri.

"Kita juga ingin tahu apakah Indonesia boleh memberi jaminan pembantu rumah yang dibekalkan itu bermutu, boleh dipercayai dan tidak pula mendera majikan," katanya kepada Bernama.

Kandungan MoU yang dilaporkan sebelum ini antaranya penggunaan satu saluran untuk proses penempatan, pemantauan dan pemulangan pekerja asing Indonesia, caruman dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), jaminan bayaran gaji melalui e-Wages, cuti rehat satu hari dalam seminggu, aplikasi e-aduan serta lain-lain kebajikan yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan.

Bagaimanapun, sebuah portal berita yang mendakwa memperoleh dokumen lengkap MoU itu melaporkan antaranya gaji perlu dibayar terus ke akaun bank pekerja selewat-lewatnya pada 7 hari bulan dengan bonus sebulan gaji selepas kontrak tamat dan kenaikan gaji jika kontrak diperbaharui selepas dua tahun.

Pembantu rumah Indonesia juga mesti diberikan rehat sekurang-kurangnya 10 jam setiap hari termasuk tujuh jam tanpa gangguan, dan jika terpaksa bekerja pada hari rehat, pekerja perlu diberi pampasan.

Selain itu, setiap APS boleh mempunyai perjanjian perkongsian dengan tidak lebih daripada 10 agensi pengambilan berdaftar Indonesia.

MoU itu juga menetapkan semua kontrak diserahkan kepada Kedutaan Indonesia oleh agensi pekerjaan masing-masing untuk pengesahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 9:27 AM