Ir Izham Hashim (tengah) melakukan lawatan ke  Kelong Paradise Sabak Bernam, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Ir Izham Hashim (tengah) melakukan lawatan ke Kelong Paradise Sabak Bernam, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Kerajaan negeri akan menubuhkan pasukan petugas untuk memantau cerun diklasifikasikan berisiko tinggi runtuh di seluruh Selangor, dalam waktu terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, perkara itu sudah dibawa ke Mesyuarat Exco Selangor.

"Pasukan petugas ini akan bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

"Ini kerana kejadian tanah runtuh dianggap isu serius dan perlu ditangani segera serta secara menyeluruh," katanya pada Majlis Perasmian dan Lawatan ke Kelong Paradise Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Izham berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas berkenaan cerun berikutan isu itu tidak diselaraskan sama ada di bawah kawal selia Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengadakan kerjasama dengan anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) iaitu SELGEM Sdn Bhd (SELGEM) yang akan membuat kajian bagi melihat cerun terbabit yang dikenal pasti berpotensi dan berisiko runtuh.

"Hujan berterusan dan cuaca tidak menentu mengakibatkan sebahagian cerun di beberapa kawasan mulai longgar dan berpotensi berlaku kejadian tanah runtuh.

"Perkara ini kita perlu buat kajian untuk memastikan kategori kritikal diberi keutamaan segera," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri mengenal pasti lebih 150 cerun berisiko tinggi untuk berlaku tanah runtuh terutama di sekitar Gombak, Ampang dan Hulu Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 4:02 PM