KEBANYAKAN penduduk terdiri daripada kakitangan hospital, institusi pendidikan dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam.
KEBANYAKAN penduduk terdiri daripada kakitangan hospital, institusi pendidikan dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Kira-kira 3,900 individu berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, di sini, yang dilaksanakan bermula hari ini sehingga 12 Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, Amri Ismail yang juga Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata, berdasarkan bancian Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) terdapat 876 isi rumah di tiga taman perumahan itu.

Menurutnya, kebanyakan penduduk terdiri daripada kakitangan hospital, institusi pendidikan dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam.

"Sehingga semalam, sebanyak 135 kes positif Covid-19 dicatatkan daripada 2,538 saringan yang dilaksanakan.

"Terdapat satu kematian dicatatkan membabitkan warga emas berusia 74 tahun yang mempunyai komplikasi kencing manis dan darah tinggi.

"Berdasarkan bancian MDSB juga, majoriti penduduk terdiri daripada warga emas yang juga golongan berisiko berusia 56 hingga 65 tahun ke atas," katanya ketika ditemui pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Taman Pertama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak Ahmad Mustain Othman, Yang Dipertua MDSB Azman Dahlan dan Pegawai Kesihatan Daerah Sabak Bernam Dr A L Liza Abd Latip.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan berlaku peningkatan ketara kes positif di lokaliti itu dalam tempoh singkat apabila sebanyak 113 kes direkodkan hasil daripada 1,237 ujian saringan.

Sehubungan itu, Amri berkata, pemasangan kawad duri turut dipasang di sekitar kawasan tiga perumahan itu manakala hanya satu laluan keluar masuk digunakan sebagai pintu utama untuk kawalan keselamatan.

"Setakat ini, kita peroleh kerjasama yang baik daripada penduduk dan yakin proses saringan dapat diselesaikan mengikut jadual.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar untuk membuat 1,500 saringan kepada penduduk dalam waktu terdekat.

"Kita menyediakan dua pusat saringan iaitu di Surau Taman Pertama dan Padang Taman Serendah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 4:50 PM