GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tiga lelaki warga Bangladesh ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan mengedarkan arak tidak bercukai dalam serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Alfa Impian Balakong, Cheras, hari ini.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Deputi Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi terbabit jam 10.40 pagi.

"Dalam serbuan itu, kami menahan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 30 tahun hingga 41 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran arak tidak bercukai.

"Kami turut merampas 460 kotak mengandungi 5,520 botol arak pelbagai jenama, dua van masing-masing jenis Toyota Hiace dan Nissan Urvan, sebuah Honda Jazz, 224 setem kastam disyaki tiruan, dan tiga telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi aktiviti berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad berkata, jumlah keseluruhan rampasan dalam serbuan itu dianggarkan bernilai RM338,720.

"Kami percaya serbuan ini berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran arak tidak bercukai di sekitar Lembah Klang dengan menjadikan premis di kawasan industri sebagai stor penyimpanan arak tidak bercukai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. Masyarakat diseru supaya dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 12:09 AM