ANTARA minuman keras tidak bercukai yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
ANTARA minuman keras tidak bercukai yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan lima lelaki yang dipercayai terbabit dengan penyeludupan minuman keras tidak bercukai dalam serbuan di dua lokasi berasingan di sekitar Sentul, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batilion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Superintendan Rizal Mohamed berkata, serbuan pertama dilakukan antara 9 pagi hingga 2 petang di sebuah menara di ibu negara.

"Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 30 dan 45 serta seorang lelaki warga asing berusia 52 tahun bersama tiga kenderaan di lokasi terbabit.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menemui 110 kotak dan 344 karton minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM82,068 dengan nilai cukai berjumlah RM91,842 yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rizal berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing masing-masing berusia 58 dan 45 tahun dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Ipoh jam 4 petang, semalam.

"Pemeriksaan dilakukan menemui 32 karton dan 46 kotak minuman keras tidak bercukai yang berjumlah RM21,788 dengan anggaran nilai cukai RM25,355.

"Siasatan dilakukan membawa kami ke sebuah lagi premis di Jalan Pulasan di sini dan menemui 374 karton dan 583 kotak minuman keras tidak bercukai yang disembunyikan di dalam premis berkenaan bernilai RM276,156 dengan anggaran cukai RM301,768," katanya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 750 karton dan 739 kotak minuman keras tidak bercukai bernilai RM380,012 dengan nilai cukai sebanyak RM418,983.

"Kami turut merampas tiga kenderaan dan beberapa telefon bimbit menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM1.13 juta.

"Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Orang ramai diseru supaya memberi kerjasama dan tampil menyalurkan maklumat kepada polis mengenai sebarang aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 3:13 PM