ANTARA suspek yang ditahan dalam serbuan itu. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA suspek yang ditahan dalam serbuan itu. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Kegiatan tiga lelaki termasuk dua warga India memproses arak tiruan di sebuah premis di kawasan industri, di sini, terbongkar apabila mereka ditahan dalam serbuan, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Superintendan Rizal Mohamed berkata, dalam serbuan pada 1.30 tengah hari, pihaknya menahan lelaki berusia 25 tahun serta dua lelaki warga India berusia 30 dan 50 tahun ketika sedang memunggah barang ke dalam kenderaan.

"Pemeriksaan dilakukan menemui 213 kotak mengandungi 2,566 botol arak tiruan yang disembunyikan di bahagian belakang kenderaan.

"Selain itu, kami turut menemui enam kotak mengandungi 72 botol arak selain beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses arak tiruan seperti pelekat khas kastam dan pelekat jenama arak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rizal berkata, pihaknya turut merampas 10 tong berisi 1,590 liter alkohol jenis ethanol bernilai RM406,917 selain dua telefon bimbit, sebuah lori serta sebuah van dalam serbuan itu.

Menurutnya, jumlah minuman keras yang dirampas adalah sebanyak 219 kotak mengandungi 2,628 botol dianggarkan bernilai RM204,571 dengan nilai cukai adalah RM326,085 menjadikan nilai keseluruhan rampasan sekitar RM1.07 juta.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Eksais 1975.

"Dengan penahanan tiga suspek ini, kami percaya dapat menumpaskan satu rangkaian pembuatan dan pengedaran minuman keras haram di kawasan Selayang dan Gombak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 2:30 PM