ROKOK yang dirampas. FOTO ihsan PGA
ROKOK yang dirampas. FOTO ihsan PGA
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Dua lelaki ditahan Batalion 6 PGA Bakri di Muar, Johor kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai, Isnin lalu.

Penolong Pegawai Memerintah Batalion 6 PGA Deputi Superintendan Salehin Suleiman berkata, pihaknya membuat serbuan ke atas premis di Kawasan Perindustrian Oakland selepas mendapat maklumat mengenai perkara itu.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas lori dan premis, pihaknya menemui 2,025 karton (379,900 batang ) rokok dipercayai rokok tidak bercukai.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah lori adalah RM501,979.50.

"Serbuan ini berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok seludup di sekitar Seremban, Negeri Sembilan dengan menjadikan premis sebagai stor penyimpanan rokok yang tidak bercukai.

"Polis menyeru masyarakat agar dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan suspek berumur antara 59 tahun hingga 61 tahun itu ditahan reman selama 14 hari sehingga 27 Februari 2022 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 3:55 PM