DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin Asean untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean, dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda itu di peringkat antarabangsa.

Ismail Sabri berkata, selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

"Jadi tiada sebab kita tidak boleh jadikan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa rasmi Asean. Kita akan selaraskan perkara ini dan saya akan bincang dengan pemimpin negara Asean yang memang menggunakan Bahasa Melayu, supaya mereka bersetuju jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean.

"Selepas itu, kita akan bincang pula dengan pemimpin-pemimpin Asean lain yang juga mempunyai penduduk yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di negara mereka," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang ingin tahu adakah kerajaan akan bekerjasama dengan pemimpin negara Asean untuk menyelaraskan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 11:44 AM